Friday, April 1, 2011

PERUNDANGAN


Persempadanan: SPR tunggu masa 


2011/04/02 Berita Harian online

Kawasan baru pilihan raya ambil dua tahun 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri selepas kali terakhir ia dilaksanakan pada Mac 2003.


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata persempadanan semula itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selepas lapan tahun selaras dengan peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan.
“SPR sudah boleh mula sekarang tetapi SPR sedang menunggu masa yang sesuai serta lapang kerana sebaik tarikh urusan persempadanan ditetapkan ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun," katanya dalam temuramah dengan BERNAMA dan RTM di sini, semalam. 

Abdul Aziz berkata, selepas lima kali urusan persempadanan dijalankan, belum ada sebarang pelanggaran Prinsip-Prinsip Persempadanan yang ditetapkan oleh Perlembagaan dilakukan SPR. 

"Apa yang dilakukan SPR seboleh-bolehnya sesuatu bahagian pilihan raya itu sama ada Parlimen atau negeri diletakkan dalam satu daerah pentadbiran yang sama kecuali bagi beberapa bahagian pilihan raya tertentu yang mana jumlah pemilih berkurangan," katanya. 

Bagi masalah itu, Abdul Aziz berkata, SPR terpaksa mewujudkan satu bahagian pilihan raya Parlimen dari dua daerah pentadbiran berlainan terutama di bahagian pilihan raya Parlimen di Sabah dan Sarawak, namun tindakan itu dianggap tidak melanggar Prinsip-Prinsip Persempadanan. 
Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, beliau berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu, secara kasarnya di negeri-negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah kerusi yang genap. 

“Jadi SPR mengalu-alukan sebarang cadangan daripada semua pihak mengenainya. Semua pihak termasuk parti politik boleh memberikan cadangan atau saranan untuk dipertimbangkan, namun keputusan muktamad di tangan SPR," katanya. 

Beliau berkata, empat prinsip persempadanan yang ditetapkan ialah kemudahan diadakan bagi pemilih mengundi ketika pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak melanggar sempadan negeri. 

Kedua, mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian. 

“Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan selain mengekalkan hubungan masyarakat tempatan," katanya. 

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, proses persempadanan semula itu masih bergantung kepada persetujuan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat untuk kerusi Parlimen dan Dewan Negeri bagi kerusi DUN.



No comments:

Post a Comment