Penglibatan Malaysia

ANTARABANGSA

'Palestin perlu sokongan kita'


2011/02/06

KUALA LUMPUR: Rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel memerlukan sokongan masyarakat negara ini supaya hak mereka dari segi perlindungan, undang-undang, kemanusiaan dan kewarganegaraan yang dinafikan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR), dikembalikan. 

Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Abdullah Zaik Abdul Rahman, berkata sudah tiba masanya masyarakat di negara ini menyatakan pendirian dalam membantu hak rakyat Palestin yang semakin dilupakan selepas serangan rejim Israel.

Katanya, UNCHR sepatutnya menjadi badan membantu rakyat Palestin tetapi tidak menjalankan tanggungjawabnya, sebaliknya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terpaksa menubuhkan Agensi Kerja Bantuan PBB (UNRWA) yang hanya menumpukan hal berkaitan pemberian bantuan makanan kepada masyarakat negara itu.

“Sehubungan itu, Kempen Awam Lindungi Palestin (PC2P) yang bernaung di bawah Aman Palestin dilancarkan bagi mendapat sokongan masyarakat negara ini dalam memberi tekanan supaya hak dinafikan itu dikembalikan kepada rakyat Palestin. 

“PC2P akan mengumpul sejuta ahli dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang turut memperjuangkan perkara sama,” katanya selepas melancarkan PC2P di sini, semalam. 

Pada majlis itu, Waqaf An Nur Corporation Bhd menyampaikan sumbangan RM100,000 melalui Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot. Hadir sama Pengerusi PC2P, Dr Isa Hamzah. 




SERANTAU


2.Tanggungjawab mengurus hal ehwal diplomatik dua negara



BARANGKALI sebilangan besar daripada kita kurang arif mengenai peranan yang dimainkan oleh duta yang dilantik oleh kerajaan untuk ditempatkan sebagai wakil kerajaan di sesebuah negara. Sebagai orang penting dalam pengurusan hal ehwal diplomatik antara dua negara dan menjaga kepentingan Malaysia, tanggungjawab duta di sesebuah negara luar amat besar skopnya.
Lebih-lebih lagi bagi seorang duta yang bertugas di negara yang mempunyai hubungan diplomatik yang cukup akrab dengan kerajaan Malaysia, menjadi kewajaran bagi semua pihak untuk memahami peranan mereka. Di Indonesia sendiri misalnya, pegawai-pegawai yang ditempatkan di Kedutaan Besar Malaysia di sini yang diketuai oleh dutanya, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan tidak menang tangan menguruskan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta merupakan pejabat perwakilan Malaysia yang terbesar di seluruh dunia dengan mempunyai 15 agensi kerajaan di bawah jagaannya dan dengan sendiri menunjukkan hubungan istimewa yang wujud antara kedua-dua negara itu.
Sebagai jiran tetangga yang mempunyai sejarah hubungan diplomatik yang cukup panjang, kita semua sedia maklum, Malaysia - Indonesia sering merentasi hubungan adik-beradik yang ada ketika panas dan ada ketika dingin.
Namun, kemesraan hubungan bangsa serumpun yang terjalin antara kedua-dua negara berkenaan tidak mampu dicalarkan dengan elemen-elemen yang cuba menggugat keakraban tali persaudaraan itu.
Kerana itu, Duta Besar Malaysia di Jakarta sentiasa dilihat begitu proaktif dalam setiap pendekatan yang diambil oleh beliau untuk memelihara keharmonian yang terjalin.
Begitu juga, dalam konteks memperkasakan hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia, Syed Munshe dan pegawai-pegawainya banyak memberi tumpuan pada kerja-kerja formal terutamanya yang menuntut political decision (keputusan politik)
"Tanggungjawab Duta Besar Malaysia di mana-mana negara sekalipun sangat besar yang memerlukan mereka membuat pertimbangan yang bijak dan akan membantu menyuburkan hubungan baik antara dua negara.
"Kerana itu, ada ketikanya tidak semua acara yang dapat dihadiri seseorang duta itu kerana komitmen yang sudah diberikan sejak dari awal atau harus memberi keutamaan pada tugas yang menuntut political decision," kata seorang pegawai diplomat kepada Utusan Malaysiamenjelaskan peranan seorang duta di mana-mana negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, perlu juga ada pemahaman yang jelas bahawa andai kata seseorang duta itu tidak dapat menghadiri apa-apa acara yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, itu tidak bermakna duta sengaja mengabaikan jemputan itu.
Kata pegawai diplomat itu lagi, andainya ada acara yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau agensi-agensi kerajaan di mana saja di sesebuah negara luar, Kedutaan Besar Malaysia sentiasa akan memberi sokongan padu bagi memastikan matlamat penganjuran sesebuah acara tercapai.
Ini termasuk acara Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia Maybank (Maybank Semi'10) anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) di Bandung , Indonesia baru-baru ini.
Barangkali, kelibat Syed Munshe tidak ada di situ kerana beliau terikat dengan urusan lain yang sudah dipersetujui lebih awal.
Namun, kerana menyedari kepentingan seminar yang bermatlamat merapatkan kerjasama rakyat kedua-dua negara dalam bidang ekonomi menyebabkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bersetuju memberikan komitmen sepenuhnya.
Bertitik tolak daripada idea murni itulah, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melihat betapa Iswami boleh memainkan peranan yang sekali gus menjadi pelengkap kepada usaha untuk menjalin hubungan yang lebih akrab antara Malaysia dan Indonesia .
Acara anjuran Iswami itu disifatkan Syed Munshe penting untuk membantu kerajaan memelihara hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia terutamanya dalam konteks hubungan media kedua-dua negara.
"Kami amat menghargai inisiatif itu dan memberikan komitmen yang cukup jitu. Kerana itu, saya bersetuju menghantar enam ketua pelbagai jabatan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia sebagai tanda sokongan terhadap Iswami
"Iswami telah memainkan peranan yang cukup baik mewakili sektor tidak formal membantu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memberi tumpuan pada urusan-urusan formal. Apabila kedua-dua pihak memainkan peranan ini sudah tentu ia akan memberi manfaat yang cukup besar kepada Malaysia dan Indonesia," jelas Syed Munshe lagi.
Pada Maybank Semi'10 di Bandung itu, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia diwakili enam ketua jabatan termasuk timbalan duta, Syed Mohd Hasrin Tengku Hussin.
Misi Iswami tempoh hari dilihat membawa interaksi era baru antara wartawan Malaysia dan Indonesia untuk mengendurkan 'perang media' terutama melibatkan isu-isu sensitif Kuala Lumpur-Jakarta.
Apa lagi, Iswami yang baru dua tahun usia penubuhannya mengambil inisiatif ingin bekerjasama menjaga hubungan negara serumpun ini.
Lalu ketidakhadiran duta pada majlis perasmian berkenaan barangkali tidak adil untuk dijadikan isu besar memandangkan sokongan yang diberi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta (yang mungkin tidak kelihatan pada mata kasar) menterjemahkan aspirasi besar duta dan pegawai-pegawainya dalam mendokong usaha yang murni.
Sebetulnya, semua pihak saling bergantungan antara satu sama lain dalam usaha untuk memelihara hubungan kerjasama yang sedia ada untuk menjayakan misi masing-masing. Iswami dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, juga tidak terlepas daripada saling memerlukan.






1. Malaysia, Brunei tingkatkan hubungan perdagangan

Utusan online 25/01/2011 7:39pm

BANDAR SERI BEGAWAN 25 Jan. – Brunei berminat untuk meningkatkan hubungan perdagangan dua hala dengan Malaysia serta menerokai bidang pelaburan di Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di sini hari ini, beliau diberitahu bahawa tiga negeri di Malaysia iaitu Johor, Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti oleh Brunei sebagai mempunyai potensi besar bagi tujuan pelaburan.
Muhyiddin berada di sini untuk menghadiri persidangan Majlis Menteri-menteri Pendidikan Asia dan Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN yang akan berlangsung esok.
"Secara spesifik bidang pelaburan belum diputuskan namun antaranya ialah pengeluaran makanan, ternakan lembu, perhotelan dan hartanah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam di sini.
Muhyiddin berkata, pelaburan di ketiga-tiga negeri tersebut bakal dibuat oleh Brunei Investment Agency (BIA), sebuah badan pelaburan di bawah Kementerian Kewangan Brunei.
Dalam bidang pendidikan pula, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Malaysia dan Brunei bakal menjalin kerjasama dalam bidang ICT, sekolah antarabangsa dan pendidikan vokasional. – Bernama