Wednesday, March 30, 2011

Kehakiman


Minda Pengarang: Pengamal undang-undang tak beretika cemar imej kehakiman negara


2011/03/30 Berita Harian online

APABILA Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah menegur pengamal undang-undang kelmarin, kita percaya teguran baginda itu tentu ada asasnya, berdasarkan meningkatnya kes tertunggak serta beberapa kejadian menyalahi undang-undang membabitkan golongan berkenaan. Teguran ikhlas yang berupa peringatan dan nasihat daripada seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan dunia kehakiman dan perundangan negara itu patut dipandang serius dan diberi perhatian sewajarnya agar segala kelemahan dan kekurangan dalam profesion berkenaan dapat diperbaiki segera. Raja Dr Nazrin kelmarin menasihatkan pengamal undang-undang supaya tidak mempersendakan mahkamah termasuk melengahkan perbicaraan. Baginda yang menyifatkan bidang perundangan sebagai profesion yang dipandang mulia dan mempunyai peradaban, kesopanan dan etika tersendiri tidak sepatutnya dicemari oleh sikap pengamal undang-undang dengan melengahkan perbicaraan atau cuba dengan sengaja menyusahkan pihak lawan. Seperti juga bidang perubatan, perakaunan dan bidang profesional lain, pengamalnya hendaklah mematuhi peraturan dan etika yang dirangka oleh profesion berkenaan sendiri. Namun bidang guaman jika dilaksanakan dengan profesional, boleh menegakkan keadilan kepada pihak yang membuat tuntutan di mahkamah. 

Sebelum ini laporan media massa banyak membangkitkan mengenai kes mahkamah yang tertunggak di negara ini. Sesetengah kes mengambil masa terlalu lama diselesaikan, sehingga pernah wujud satu kes berhubung pemecatan seorang kakitangan kerajaan yang mengambil masa sehingga lebih 26 tahun untuk diselesaikan. Berikutan kes itu, pihak mahkamah meminta pihak berkuasa menetapkan tempoh masa bagi penyelesaian sesuatu kes bagi mengelak berulangnya kes sedemikian. Dalam hubungan ini, semua pihak berkaitan perlu memainkan peranan dan bersedia menjalankan kes sehingga selesai, termasuk mahkamah, peguam bela dan pendakwa raya. Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi pernah dilaporkan sebagai berkata, berdasarkan kajian selama sebulan oleh mahkamah di Semenanjung, 80 peratus penangguhan kes sering dilakukan oleh pihak tertuduh, peguam atau pendakwa raya. Jika ini menjadi puncanya, maka adalah wajar pihak yang dituduh melakukan pemilihan peguam yang sanggup mewakilinya dengan berkesan serta mampu mengendalikan kes berkenaan kerana andainya peguam yang dilantik tidak mampu membela tertuduh, perbicaraan akan terganggu dan akhirnya ditangguhkan.

No comments:

Post a Comment