Saturday, April 30, 2011

Ketua Negeri (Tidak Beraja)


Abdul Rahman angkat sumpah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang 


2011/04/30 Berita Harian online.

GEORGETOWN: Tun Abdul Rahman Abbas hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang bagi penggal keempat. 

Upacara mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan Hakim Pengurus Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Zakaria Sam di Seri Mutiara di sini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, anggota Exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat.
Pada 19 April lalu, Abdul Rahman, 73, menerima Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memegang jawatan itu bagi tempoh dua tahun dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara. 

Abdul Rahman yang dilahirkan pada 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang mula dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketujuh pada 17 April 2001 dan seterusnya dilantik semula untuk memegang jawatan yang sama pada 1 Mei 2005 dan 15 April 2009. 

Abdul Rahman yang kini Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten), berkahwin dengan Toh Puan Majimor Shariff dan dikurniakan empat orang anak. 

Beliau yang berkelulusan ijazah kepujian dalam bidang Kesusasteraan daripada Universiti Malaya (UM) pada 1972, pernah menjadi pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang selama tiga tahun bermula pada 1982. 
Beliau pernah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun sebelum bergiat aktif dalam politik dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bertam, Pulau Pinang selama empat penggal pada pilihan raya umum tahun 1978, 1982, 1986 dan 1990. 

Abdul Rahman dalam karier politiknya pernah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dari 1974 hingga 1988, Anggota Jawatankuasa Pemuda UMNO dari 1976 hingga 1978 dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas pada 1988. - BERNAMA

Thursday, April 21, 2011

Dasar Luar : ASEAN


ASEAN berdepan krisis identiti, semangat antara penduduk negara anggota
Oleh Faridzwan Abdul Ghafar
faridzwan@bharian.com.my
2011/04/21

CADANGAN segelintir ahli akademik dan aktivis politik rantau Asia Tenggara yang menginginkan negara ASEAN peranannya menjurus kepada kesatuan politik dilihat sukar untuk dilaksanakan. 

Impian mereka yang mahu melihat ASEAN bergerak sebagai entiti politik negara serantau boleh menjejaskan kestabilan dan hubungan diplomatik rantau Asia Tenggara dengan negara di rantau Asia yang lain.


Aktivis politik dan ahli akademik terbabit kerap mencanangkan kepada 600 juta penduduk Asia Tenggara menerusi pelbagai saluran, termasuk media baru bahawa ia boleh dilaksanakan dengan berpandukan model pembentukan Kesatuan Eropah (EU) yang dianggap berjaya itu.
Hakikatnya, tujuan penubuhan ASEAN dan EU adalah berbeza, di samping faktor demografi negara anggota sama ada ASEAN atau EU yang diketahui menerusi rentetan sejarah yang langsung tidak sama. 

Masyarakat antarabangsa mengetahui bahawa ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok pada asalnya dianggotai Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina adalah untuk menyekat perkembangan pengaruh komunis Kesatuan Soviet dan China. 

Selain itu, ASEAN juga dijadikan platform bagi memacu kerjasama hubungan serantau kerana negara anggota pada masa itu kebanyakannya baru mengecapi nikmat kemerdekaan dan sedang dalam proses pembelajaran mengenai hubungan antarabangsa. 

Sejak itu, peranannya berkembang sejajar dengan peredaran zaman dan berjaya untuk menarik minat negara Asia Tenggara lain seperti Brunei, Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar untuk menganggotainya. 
Malah, selepas tamatnya Perang Dingin, ASEAN sekali lagi berubah dengan menumpukan kepada kerjasama ekonomi, sosial, pendidikan, budaya dan mewujudkan pentas perbincangan bagi membawa pelbagai isu negara serantau secara rundingan. 

Walaupun persatuan negara Asia Tenggara itu bersatu dalam pelbagai kerjasama, tetapi ia masih mengekalkan identiti dan kepentingan masing-masing lantaran perbezaan sistem politik, budaya, bahasa dan agama. 

Ia sangat jelas bahawa terlalu banyak perbezaan latar belakang yang harus diatasi jika ASEAN ingin berubah kepada kesatuan politik serantau seperti yang berlaku kepada negara anggota EU. 

EU tidak mengalami masalah perbezaan ketara seperti dialami negara anggota ASEAN, terutama apabila ia membabitkan pertumbuhan ekonomi dan kadar kuasa beli penduduk setempat. 

Berbanding dengan ASEAN, EU ditubuhkan bagi mengatasi masalah nasionalisme melampau di kalangan penduduk Eropah, selain menyatukan kuasa ekonomi bagi mengurangkan persaingan dan mendapatkan pasaran yang lebih luas. 

Nasionalisme melampau dan persaingan ekonomi antara negara berkuasa besar di Eropah menyebabkan dua perang dunia tercetus dan mengakibatkan masyarakat antarabangsa trauma dengan agenda Eropah. 

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Chilman Arisman, berkata ASEAN sebenarnya berdepan dengan krisis penentuan identiti dan semangat serta jati diri membabitkan penduduk negara anggota. 

“Dulu kita ingat bahasa Melayu adalah identiti dan jati diri untuk penduduk ASEAN, tetapi dengan kemasukan negara seperti Laos, Myanmar dan Kemboja, nampaknya bahasa Melayu sukar untuk dilihat sebagai identiti ASEAN. 

“Kita perlu mengkaji semula titik persamaan antara negara anggota ASEAN jika mahu menjadi kesatuan politik serantau seperti EU, tetapi saya fikir ia agak mustahil untuk ke arah itu dan memerlukan masa yang lama,” katanya. 

Setakat ini, titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah kerjasama ekonomi kerana setiap negara anggota ASEAN saling bergantung antara satu sama lain bagi menjana pertumbuhan ekonominya, manakala kerjasama kesatuan politik adalah titik persamaan yang amat sukar dicapai. 

Justeru, tindakan yang boleh diambil negara anggota ASEAN ialah mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi serantau kerana kemakmuran ekonomi negara Asia Tenggara akan membawa kepada kestabilan politik, kemajuan pendidikan dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Perlembagaan


Islam sebagai agama bagi Persekutuan wajar kekal dalam bentuk asal


2011/04/21 Berita Harian online

KUALA LUMPUR: Peruntukan mengenai Islam sebagai agama bagi Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan wajar dikekalkan dalam bentuknya sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Beliau berkata, ini kerana Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia dengan semua kaum dan keturunan telah sepakat menerima peruntukan itu yang bersifat sederhana yang membolehkan prinsip Islam dilaksanakan dalam maksud yang luas dan komprehensif.
"Ia termasuk mengiktiraf hak kebebasan rakyat untuk menganut dan mengamalkan agama lain dan penerimaan itu adalah hakikat penerusan kepada kedaulatan agama Islam yang dianuti oleh negeri Tanah Melayu sebelum kedatangan British lagi," katanya ketika menjawab soalan Senator Ahmad Hussin pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
Ahmad ingin tahu apakah kerajaan berhasrat meminda Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan perkataan rasmi dan perkataan Sunnah Wal Jammaah di dalamnya. 

Jamil Khir berkata, pindaan perkataan "agama rasmi bagi Persekutuan" kepada "agama rasmi" akan menyempitkan keluasan skop pemakaian peruntukan tersebut menjadikan agama Islam terhad kepada upacara rasmi, ritual dan keagamaan semata-mata. 

Beliau berkata, cadangan untuk meminda peruntukan Islam di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan juga perlu mengambil kira tujuan dasar di sebalik pindaan itu dan implikasinya kepada perundangan negara. 

Katanya, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kerajaan sentiasa memastikan bahawa setiap dasar dan undang-undang yang digubal di negara ini adalah selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam. 
"Berdasarkan alasan itu, kerajaan berpandangan tiada keperluan untuk meminda Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan itu sudah bertepatan dengan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya. 

Berhubung cadangan untuk memasukkan perkataan Sunnah Wal Jamaah, Jamil Khir berkata kerajaan tidak bercadang berbuat demikian kerana fahaman tersebut yang menjadi pegangan Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali telah diiktiraf dan diterima pakai oleh semua negeri di Malaysia. 

Beliau berkata, walaupun tidak diperuntukkan secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang itu hendaklah berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Ini berdasarkan keputusan muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 5 Mei 1996. 

Sementara itu menjawab soalan tambahan berhubung ketetapan terhadap ajaran pluralisme dan liberalisme di negara ini, Jamil berkata ajaran tersebut sebenarnya perlu ditolak. 

"Muzakarah Fatwa sudah bermuzakarah dan mengambil ketetapan bahawa kedua-dua ajaran iaitu, pluralisme dan liberalisme ditolak di Malaysia dan penguatkuasaan terhadapnya dibuat dengan mengambil kira enakmen sedia ada dalam konteks negara," katanya. - BERNAMA

Sunday, April 10, 2011

Pentadbiran: Kuasa budi bicara ketua negeri


Published: Sunday April 10, 2011 MYT 12:56:00 PM
Updated: Sunday April 10, 2011 MYT 12:59:33 PM The Star online

Selangor palace suspends Chan Kong Choy's Datukship

Friday, April 1, 2011

PERUNDANGAN


Persempadanan: SPR tunggu masa 


2011/04/02 Berita Harian online

Kawasan baru pilihan raya ambil dua tahun 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri selepas kali terakhir ia dilaksanakan pada Mac 2003.


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata persempadanan semula itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selepas lapan tahun selaras dengan peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan.
“SPR sudah boleh mula sekarang tetapi SPR sedang menunggu masa yang sesuai serta lapang kerana sebaik tarikh urusan persempadanan ditetapkan ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun," katanya dalam temuramah dengan BERNAMA dan RTM di sini, semalam. 

Abdul Aziz berkata, selepas lima kali urusan persempadanan dijalankan, belum ada sebarang pelanggaran Prinsip-Prinsip Persempadanan yang ditetapkan oleh Perlembagaan dilakukan SPR. 

"Apa yang dilakukan SPR seboleh-bolehnya sesuatu bahagian pilihan raya itu sama ada Parlimen atau negeri diletakkan dalam satu daerah pentadbiran yang sama kecuali bagi beberapa bahagian pilihan raya tertentu yang mana jumlah pemilih berkurangan," katanya. 

Bagi masalah itu, Abdul Aziz berkata, SPR terpaksa mewujudkan satu bahagian pilihan raya Parlimen dari dua daerah pentadbiran berlainan terutama di bahagian pilihan raya Parlimen di Sabah dan Sarawak, namun tindakan itu dianggap tidak melanggar Prinsip-Prinsip Persempadanan. 
Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, beliau berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu, secara kasarnya di negeri-negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah kerusi yang genap. 

“Jadi SPR mengalu-alukan sebarang cadangan daripada semua pihak mengenainya. Semua pihak termasuk parti politik boleh memberikan cadangan atau saranan untuk dipertimbangkan, namun keputusan muktamad di tangan SPR," katanya. 

Beliau berkata, empat prinsip persempadanan yang ditetapkan ialah kemudahan diadakan bagi pemilih mengundi ketika pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak melanggar sempadan negeri. 

Kedua, mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian. 

“Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan selain mengekalkan hubungan masyarakat tempatan," katanya. 

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, proses persempadanan semula itu masih bergantung kepada persetujuan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat untuk kerusi Parlimen dan Dewan Negeri bagi kerusi DUN.