Thursday, April 21, 2011

Perlembagaan


Islam sebagai agama bagi Persekutuan wajar kekal dalam bentuk asal


2011/04/21 Berita Harian online

KUALA LUMPUR: Peruntukan mengenai Islam sebagai agama bagi Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan wajar dikekalkan dalam bentuknya sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Beliau berkata, ini kerana Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia dengan semua kaum dan keturunan telah sepakat menerima peruntukan itu yang bersifat sederhana yang membolehkan prinsip Islam dilaksanakan dalam maksud yang luas dan komprehensif.
"Ia termasuk mengiktiraf hak kebebasan rakyat untuk menganut dan mengamalkan agama lain dan penerimaan itu adalah hakikat penerusan kepada kedaulatan agama Islam yang dianuti oleh negeri Tanah Melayu sebelum kedatangan British lagi," katanya ketika menjawab soalan Senator Ahmad Hussin pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
Ahmad ingin tahu apakah kerajaan berhasrat meminda Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan perkataan rasmi dan perkataan Sunnah Wal Jammaah di dalamnya. 

Jamil Khir berkata, pindaan perkataan "agama rasmi bagi Persekutuan" kepada "agama rasmi" akan menyempitkan keluasan skop pemakaian peruntukan tersebut menjadikan agama Islam terhad kepada upacara rasmi, ritual dan keagamaan semata-mata. 

Beliau berkata, cadangan untuk meminda peruntukan Islam di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan juga perlu mengambil kira tujuan dasar di sebalik pindaan itu dan implikasinya kepada perundangan negara. 

Katanya, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kerajaan sentiasa memastikan bahawa setiap dasar dan undang-undang yang digubal di negara ini adalah selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam. 
"Berdasarkan alasan itu, kerajaan berpandangan tiada keperluan untuk meminda Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan itu sudah bertepatan dengan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya. 

Berhubung cadangan untuk memasukkan perkataan Sunnah Wal Jamaah, Jamil Khir berkata kerajaan tidak bercadang berbuat demikian kerana fahaman tersebut yang menjadi pegangan Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali telah diiktiraf dan diterima pakai oleh semua negeri di Malaysia. 

Beliau berkata, walaupun tidak diperuntukkan secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang itu hendaklah berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Ini berdasarkan keputusan muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 5 Mei 1996. 

Sementara itu menjawab soalan tambahan berhubung ketetapan terhadap ajaran pluralisme dan liberalisme di negara ini, Jamil berkata ajaran tersebut sebenarnya perlu ditolak. 

"Muzakarah Fatwa sudah bermuzakarah dan mengambil ketetapan bahawa kedua-dua ajaran iaitu, pluralisme dan liberalisme ditolak di Malaysia dan penguatkuasaan terhadapnya dibuat dengan mengambil kira enakmen sedia ada dalam konteks negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment